Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Berita tentang penduduk Islam Rohingya di Myanmar sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan banyak pihak menyimpulkan bahawa Penasihat Negara Aung San Suu Kyi seolah-olah melepaskan tanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia.
Ribuan Rohingya diusir tentera kerajaan dari tanah yang telah mereka diami di barat Myanmar sejak berabad lalu.
Krisis kemanusiaan yang menimpa Rohingya menyaksikan pencabulan hak asasi manusia yang paling asas.
Dalam usahanya menstabilkan keadaan di negeri Rakhine, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu melantik bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan untuk mengetuai suruhanjaya bagi mengenal pasti masalah.
Laporan akhir suruhanjaya itu dikeluarkan hujung bulan lalu dan diterima sepenuhnya oleh Suu Kyi.
Antara usul dikemukakan adalah penutupan kem pelarian dalaman, kebebasan bergerak, penyertaan golongan minoriti dalam urusan sivik dan mewujudkan mekanisme untuk melaksanakan usul suruhanjaya tersebut.
Bagaimanapun, beberapa hari selepas laporan dikeluarkan, Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (Arsa) menyerang sembilan pos keselamatan polis di sempadan yang membawa kepada tindak balas tatmadaw dan krisis kemanusiaan baharu.
Akibat gelombang kedua pertempuran itu, lebih 420,000 Rohingya melarikan diri dari keganasan di Rakhine ke negara jiran Bangladesh.
Selepas hampir sebulan gelombang kedua krisis kemanusiaan Rohingya berlangsung sejak 25 Ogos lalu, Suu Kyi yang selama ini bertindak mendiamkan diri akhirnya bersuara buat kali pertama.
Sejak pertempuran baharu tercetus, Suu Kyi berdepan kritikan antarabangsa kerana terus berdiam diri tentang isu etnik Rohingya.
Beliau seolah-olah enggan bertindak dan sering mengelak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang sangat dinantikan banyak pihak.
Berucap selama 30 minit menerusi stesen televisyen tempatan, banyak dakwaan yang dibuat bekas penerima Hadiah Nobel Keamanan itu bagaimanapun diragui dan ada yang bercanggah dengan penemuan laporan rasmi kerajaan dan yang disusun Kofi Annan.
Ucapannya dimulakan dengan menggariskan sikap demokrasi Myanmar dan tempoh waktu yang masih singkat sejak partinya Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) mula berkuasa.
“Selepas setengah abad pemerintahan auroritarian, sekarang adalah masa untuk memupuk negara kita. Keganasan baru-baru ini hanyalah salah satu daripada kerumitan yang dihadapi Myanmar.
“Kami adalah sebuah negara yang muda dan rapuh yang menghadapi banyak masalah. Tetapi kami perlu atasi itu semua. Kami tidak boleh menumpukan perhatian kepada beberapa perkara sahaja,” jelasnya.
Suu Kyi dilihat seperti cuba menegakkan benang yang basah dengan hanya mempertahankan cara kerajaan menangani pelanggaran hak asasi manusia ke atas Rohingya.
“Myanmar komited untuk penyelesaian mampan bagi semua komuniti di Rakhine dan mengambil langkah untuk menggalakkan keamanan serta kestabilan di rantau tersebut.
“Kami mahu keamanan dan bukan peperangan. Kerajaan mahu menamatkan penderitaan rakyat secepat mungkin. Saya menerima tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.
“Kami tidak mahu Myanmar dibahagikan atas perbezaan agama atau etnik. Kita semua mempunyai hak untuk identiti yang berlainan. Kerajaan tidak pernah berlembut dengan isu hak asasi manusia,” katanya.
Tindakan Suu Kyi berdiam diri dan mempertahankan kerajaan mungkin dilakukan demi menjaga nama baiknya atau takut dengan majoriti Buddha.
Ia kerana selepas pemerintahan junta dan tempoh tahanan rumah beliau tamat, sokongan rakyat kepada Suu Kyi begitu kuat sehingga partinya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum pada November 2015.
Nyata perjuangannya pada tahun 1990 an iaitu demokrasi tanpa keganasan tidak sama seperti apa yang berlaku hari ini di Myanmar.
Lima dakwaan Suu Kyi yang diragui dalam ucapannya:
1. Kerajaan akan menyiasat punca penghijrahan
Dakwaan Suu Kyi bahawa kerajaan tidak mengetahui punca krisis adalah sesuatu yang pelik terutamanya beliau berulang kali merujuk laporan Kofi Annan, Laporan Akhir Suruhanjaya Penasihat Negeri Rakhine.
Laporan dikeluarkan hujung bulan lalu menggariskan beberapa isu utama termasuk hal kerakyatan Rohingya, cabaran sosio ekonomi dihadapi oleh Rakhine dan tindakan polis serta Tatmadaw.
Berikutan serangan ke atas pos keselamatan polis di sempadan pada Oktober tahun lalu, laporan menyebut, operasi balas tentera dan polis menyebabkan ribuan etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh.
“Meskipun Myanmar mempunyai hak untuk mempertahankan wilayahnya sendiri, tindakan balas ketenteraan tidak mungkin membawa keamanan di kawasan itu.
“Kecuali tindakan bersepadu yang dipimpin kerajaan dengan dibantu semua sektor kerajaan dan masyarakat diambil segera. Jika tidak ia berisiko mengembalikan satu lagi kitaran keganasan yang akan burukkan lagi konflik di Rakhine,” jelas Annan dalam satu kenyataan.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein turut menyifatkan situasi di Myanmar seperti pembersihan etnik dan ia juga diulang beberapa kumpulan hak asasi manusia lain.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Amnesty International dan Human Right Watch (HRW) telah menerbitkan laporan yang mendedahkan punca penghijrahan termasuk menuduh tentera Myanmar dengan sengaja membakar kampung Rohingya dalam kempen pembersihan etnik terhadap minoriti tersebut.
Mereka menyokong kesimpulan itu dengan imej satelit kebakaran, gambar dan video serta kenyataan saksi tentang pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak berkuasa Myanmar.
2. Myanmar tidak gentar pengawasan antarabangsa
Suu Kyi berkata, beliau menyedari perhatian dunia yang memberi tumpuan kepada Myanmar pada ketika ini, namun memberitahu kerajaannya tidak gentar dengan pengawasan antarabangsa.
“Kami boleh aturkan lawatan anda ke kawasan ini dan bertanya kepada mereka yang berada di Rakhine mengapa memilih untuk terus tinggal di kampung mereka,” menurutnya.
Meskipun situasi berkenaan mungkin berubah berikutan ucapan Suu Kyi, namun akses di Rakhine difahamkan telah dihadkan kepada media, kumpulan hak asasi manusia dan diplomat.
Awal bulan ini, satu perjalanan media yang dikawal kerajaan ke Rakhine telah dibuat, tetapi wartawan tidak dibenarkan melawat kawasan terbabit secara bebas termasuk menemu bual penduduk tanpa campur tangan pegawai rasmi.
Amnesty International menuduh kerajaan menafikan akses kepada pekerja bantuan ke Rakhine.
Malah Januari lalu, wakil khas PBB untk hak asasi manusia, Yanghee Lee juga dihalang daripada melawat beberapa bahagian di negeri terbabit atas alasan keselamatan.
Badan kebajikan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) telah menyediakan perkhidmatan kepada pelarian di Rakhine, namun staf antarabangsa tidak diberikan kebenaran perjalanan untuk melawat kemudahan kesihatan sejak Ogos.
3. Majoriti besar penduduk Rakhine tidak berhijrah
Negeri Rakhine mempunyai penduduk sekitar 3.1 juta, kira-kira satu juta daripadanya adalah Rohingya.
PBB menganggarkan bahawa lebih 420,000 Rohingya telah tiba di Bangladesh sejak 25 Ogos.
Mereka menyertai sekitar satu juta Rohingya yang telah sedia ada di negara itu selepas membuat perjalanan ketika pergolakan lalu.
Awal bulan ini, kerajaan berkata 176 daripada 471 atau 37.4 peratus kampung Rohingya telah kosong, dan tambahan 34 kampung telah ditinggalkan sebahagiannya.
Dalam ucapan pertama kali Suu Kyi Selasa lalu itu juga, beliau tidak menggunakan perkataan ‘Rohingya’ untuk menggambarkan penduduk Islam yang tinggal di Rakhine.
Jadi sukar untuk menentukan sama ada beliau merujuk kepada seluruh penduduk negeri itu atau khususnya penduduk Rohingya yang digambarkan telah terjejas secara tidak seimbang oleh keganasan baru-baru ini.
Difahamkan, Suu Kyi hanya menggunakan istilah Rohingya semasa beliau merujuk kepada pejuang Arsa.
“Beliau memilih menggunakan istilah tersebut yang didakwa dikaitkan dengan kumpulan militan.
Bermaksud, ia satu-satunya perspektif dari perspektif Suu Kyi dan beliau mengharapkan perspektif sama dari antarabangsa,” jelas profesor undang-undang di Universiti Queen Mary London.
4. Semua penduduk Rakhine mempunyai akses pendidikan, kesihatan
Dakwaan Suu Kyi bahawa Rohingya mempunyai akses kepada perkhidmatan yang sama seperti orang bukan Islam adalah bertentangan dengan laporan Annan yang mendapati Rohingya dilucutkan kebebasan bergerak.
“Sekatan pergerakan mempunyai pelbagai kesan merugikan termasuk mengurangkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan, menguatkan lagi pengasingan kaum serta mengurangkan interaksi ekonomi,” menurut laporan itu.
Selain itu, akses kepada kesihatan amat rendah dalam mayarakat Islam di bahagian utara dan tengah negara.
5. Tiada operasi pembersihan sejak 5 September
Pada hujung bulan lalu, pejuang Rohingya menyerang pos keselamatan polis dan membunuh sekurang-kurangnya 12 anggota.
Menurut kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati lain,serangan dibalas dengan operasi tentera dan keselamatan termasuk serangan helikopter dan pembakaran kampung Rohingya.
“Usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan kembali normal telah berjaya. Sejak 5 September, tiada pertempuran bersenjata dan tiada operasi pembersihan dilakukan,” dakwa Suu Kyi.
Bagaimanapun, imej satelit yang diperiksa Amnesty menunjukkan lebih 11 kampung dibakar sejak tarikh disebutkan Suu Kyi.
Antara 25 Ogos dan 14 September lalu, sebanyak 62 kampung telah dibakar.
24 September 2017 - 16:09
News ID: 856155
Berita tentang penduduk Islam Rohingya di Myanmar sejak beberapa bulan lalu telah menyebabkan banyak pihak menyimpulkan bahawa Penasihat Negara Aung San Suu Kyi seolah-olah melepaskan tanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia.